'Sambut baik keputusan kabinet isu anak lahir di luar negara'

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong menyambut baik keputusan kabinet yang bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut juga dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), serta dibangkitkan dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita Barisan Nasional yang diadakan sebelum PRU15.

“Mesyuarat Agung MCA pada 18 Disember 2022 lalu telah luluskan resolusi menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan anak-anak yg dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warganegara asing menerima kerakyatan Malaysia secara automatik,” katanya menerusi Twitter pada Ahad.

Sebelum ini, keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dalam satu kenyataan bersama.

Mengulas hal itu, menteri terbabit berkata, keputusan dibuat sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki serta menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di negara ini.