Konsortium The Rise Fund TPG melabur dalam APU

Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) di Taman Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) di Taman Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
A
A
A

PLATFORM pelaburan impak global berbilang sektor Rise Fund TPG menandatangani perjanjian dengan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) bersama dengan pelabur termasuk dana Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelaburan itu distrukturkan melalui pembelian saham daripada KV Asia, sebuah dana ekuiti persendirian terkemuka yang memberi tumpuan kepada pelaburan pasaran pertengahan di seluruh Asia Tenggara.

Penasihat Kanan TPG, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkata, sebagai sebuah universiti swasta terkemuka di Malaysia, APU mempunyai kredibiliti untuk melahirkan cerdik pandai dalam kemahiran digital.

”Dengan memanfaatkan pengalaman kami melabur di seluruh sektor pendidikan dan teknologi di seluruh dunia, TPG berharap dapat bekerjasama dengan pasukan APU untuk mempercepatkan visi dan pengembangannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh berkata, pihaknya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan TPG dan KV Asia.

“TPG mempunyai prestasi yang baik dalam segmen pendidikan dan pelaburan impak sosial dan kami gembira dapat bekerjasama dengan mereka dan pelabur baharu yang lain.

“Ia sekali gus dapat membawa model pendidikan industri terbaik dalam kelas kami seiring dengan peningkatan bilangan pelajar di dunia,” katanya.

Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi KV Asia, Vibhav Panandiker pula menjelaskan, pihaknya melabur dalam APU pada 2017 dengan tujuan untuk bekerjasama dengan pemain terkemuka dalam pendidikan tinggi di rantau ini.

“Sejak pelaburan dibuat, kami telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam APU.

“Kami harap perniagaan ini terus mencapai tahap baharu di bawah struktur pemilikan baharunya dengan TPG Rise pada masa hadapan,” ujarnya.