Bayi 3 bulan terselamat dalam runtuhan bangunan lima tingkat

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki mendukung Borhan ketika ditemui dalam misi bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care di Reyhanly.
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki mendukung Borhan ketika ditemui dalam misi bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care di Reyhanly.
A
A
A

REYHANLY, TURKIYE - Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Itulah yang dapat digambarkan terhadap seorang bayi lelaki ajaib berusia 3 bulan, Borhan Sattouf yang terselamat dalam runtuhan bangunan kediamannya tanpa sebarang kecederaan waima calar-calar di bahagian badan.

Ketika kejadian gempa bumi di negara ini pada 6 Februari lalu, Borhan terselamat selepas ibunya, Battul Assyarif, 17, menjadi pelindung buatnya daripada dihempap dinding dan siling batu yang runtuh.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi ibu muda itu di mana Battul terkorban akibat mengalami kecederaan yang parah.

Hussain kini terlantar kesan kecederaan pada tulang belakang ketika gempa bumi yang menggegar Turkiye pada 6 Februari lalu.
(Gambar kecil) Jenazah isterinya dibaluti dengan kanvas.
Hussain kini terlantar kesan kecederaan pada tulang belakang ketika gempa bumi yang menggegar Turkiye pada 6 Februari lalu. (Gambar kecil) Jenazah isterinya dibaluti dengan kanvas.

Hussain Sattouf, 24, ketika menceritakan peristiwa hitam itu berkata, sewaktu gempa berlaku, mereka sekeluarga cuba menyelamatkan diri dari rumah mereka di tingkat paling bawah, bangunan setinggi lima tingkat di Antakya.

"Saya mengarahkan isteri yang sedang mendukung Borhan untuk keluar terlebih dahulu kerana saya ingin membantu ibu dan bapa saya.

"Dalam sekelip mata dinding dan siling batu menghempap kami sekeluarga dan saya dapat lihat sendiri, Battul menjadi pelindung buat Borhan.

"Batu-batuan menghempap kepala dan belakang badan Battul. Borhan pula ketika itu langsung tidak menangis," katanya sedih kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di bandar ini.

Hussain bagaimanapun ketika itu tidak mengetahui sama ada isterinya masih hidup atau meninggal dunia.

Selepas tujuh hari menerima rawatan di hospital di Mersin, Hussain yang mengalami kecederaan patah tulang belakang di bawa ke rumah saudaranya di sini.

Ketika di rumah, barulah ibunya memberitahu bahawa Battul telah terkorban.

"Ketika mendapat berita itu, saya rasakan separuh kekuatan saya telah hilang. Insan yang saya sayang telah pergi selama-lamanya.

"Dia sanggup mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan satu-satunya anak kami. Dia terkorban di hadapan mata saya," kata Hussain yang kini hanya mampu terlantar di atas katil.

Bercerita lanjut katanya, dia dan anaknya diselamatkan oleh dua sepupu lelaki yang tinggal di bangunan bersebelahan.

"Kini saya hanya ada Borhan. Saya perlu kuat untuk membesarkannya. Ini saja kenangan atau hadiah yang diberikan oleh isteri buat saya," ujarnya.

Keluarga Hussain antara penerima bantuan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care bagi meringankan beban yang dialaminya.

Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Iwadh Sattouf menunjukkan kaki kiri anaknya yang patah selepas dua beranak itu terjun dari bangunan kediaman mereka di tingkat dua sebelum rumah mereka di Antakya roboh.
Iwadh Sattouf menunjukkan kaki kiri anaknya yang patah selepas dua beranak itu terjun dari bangunan kediaman mereka di tingkat dua sebelum rumah mereka di Antakya roboh.

Sementara itu, Iwadh Sattouf, 28, dan Abdul Karim Sattouf, 30, selepas berjaya menyelamatkan diri berkata, mereka mengambil keputusan untuk menyelamatkan Hussain.

"Kami tidak mengetahui apa nasib Hussain bersama anak, isteri dan bapanya. Apa yang kami tahu ibu dan dua adik lelakinya selamat.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk menyelamatkan mereka walaupun sedar bangunan kediaman ini boleh runtuh dalam sekelip mata," katanya.

Cuma kata mereka, bapa Hussain sehingga hari ini gagal di kesan selepas dihantar ke hospital.

"Kami tidak tahu dia hidup atau sudah meninggal. 12 hari kami mencari tetapi gagal kerana ketika di hospital, dia tiada sebarang dokumen pengenalan diri," jelasnya.

Siti Sakinah (kanan) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada mangsa gempa bumi warga Syria yang menetap di Turkiye.
Siti Sakinah (kanan) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada mangsa gempa bumi warga Syria yang menetap di Turkiye.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Penerima sumbangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care yang menjadi mangsa gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
Penerima sumbangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care yang menjadi mangsa gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.