KPM siap sedia jika banjir semasa SPM

 Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (lima, kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Nibong Tebal Selva Kumaran (empat, kiri) mewakili murid sekolah kurang berkemampuan pada Program Penyerahan Bantuan Persekolahan hari ini. - Foto Bernama.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (lima, kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Nibong Tebal Selva Kumaran (empat, kiri) mewakili murid sekolah kurang berkemampuan pada Program Penyerahan Bantuan Persekolahan hari ini. - Foto Bernama.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat pelbagai persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir semasa pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang bermula esok hingga 15 Mac.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bilik gerakan banjir KPM dan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga bersiap siaga menghadapi semua isu berkaitan banjir ketika SPM.

"Semua JPN telah bersedia khususnya melibatkan negeri yang memang sentiasa, dijangka ataupun biasa berlaku banjir, malah sekolah-sekolah kita juga bersedia menghadapinya sama ada sebagai pusat peperiksaan mahupun pusat pemindahan banjir.

"Kita (KPM) juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma untuk mempersiapkan kelengkapan menghadapi banjir, mudah-mudahan tidak (berlaku) banjir kerana kita mahu anak-anak menghadapi peperiksaan dalam keadaan paling selamat," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas hadir pada program sumbangan awal persekolahan oleh syarikat Nationgate berjumlah RM12,000 kepada 150 murid dari lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi, di SJKT Nibong Tebal, di sini.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM mengambil perhatian berhubung projek SJKT Sungai Bakap, di sini, yang terbengkalai sejak setahun lalu dipercayai kerana kekurangan dana sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, beliau sendiri akan melihat dan memastikan pembinaan sekolah berkenaan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Sekolah yang terbengkalai itu telah berada dalam pengetahuan KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (Seberang Perai Selatan) sepenuhnya dan dalam perkara yang terkait rapat dengan pembinaan (sekolah) kalau ada isu ia memang akan menjadi perhatian kita (KPM)," katanya. - Bernama