Wanita diragut penyamun bertopeng

Gambar dalam bulatan menunjukkan suspek (kiri) dan mangsa yang diragut dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, Klang pada Khamis.
Gambar dalam bulatan menunjukkan suspek (kiri) dan mangsa yang diragut dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Seorang penyelia pasar mini menempuh detik mencemaskan apabila disamun oleh individu bertopeng serta bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 9.23 malam.

"Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.37 petang ketika mangsa seorang wanita berumur lingkungan 40-an sedang berjalan menuju ke keretanya.

"Seorang lelaki bertopi dan memakai topeng muka secara tiba-tiba keluar dari sebuah kereta datang ke arah mangsa dan kemudiannya meragut beg tangan milik mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta digunakan suspek jenis Honda City.

"Berdasarkan CCTV di lokasi kejadian, kereta suspek diletakkan di belakang kereta mangsa.

"Usaha sedang giat dijalankan bagi memburu suspek terlibat dalam kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Khairol Azuan Mohd Supian di talian 0111-6937331 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.