Penebar roti canai didakwa pukul isteri

Mohd. Saifullah (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Majistret di Melaka pada Jumaat atas tuduhan memukul isteri.
Mohd. Saifullah (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Majistret di Melaka pada Jumaat atas tuduhan memukul isteri.
A
A
A

MELAKA - Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat atas pertuduhan memukul isterinya.

Mohd. Saifullah Md. Yusoff, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Aqmar Izzianty Md. Yusoff, 29, yang merupakan isterinya yang sah dengan cara memukul mangsa pada bahagian muka.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Cheng Indah, di sini, pada 14 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh hilang sabar terhadap isterinya apabila wanita itu meninggikan suara ketika bercakap dengan ibunya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 3 April depan sebagai lantikan peguam dan sebutan semula kes.