Pas pertimbang DUN untuk KJ

Tuan Ibrahim disambut pelajar Tahfiz Al Ikhwan sempena Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II pada Jumaat.
Tuan Ibrahim disambut pelajar Tahfiz Al Ikhwan sempena Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mungkin mempertimbangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, sehingga kini parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy.

Beliau berkata, Pas juga tetap terbuka menerima bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

"Pas dan Perikatan Nasional (PN) turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II di sini pada Jumaat.

Khairy yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kalah dalam pertandingan enam penjuru dan kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan.

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Tahfiz Al Ikhwan pada Jumaat.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Tahfiz Al Ikhwan pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas belum membincangkan perkara itu dan menyerahkannya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.

Bagaimanapun katanya, Pas sudah meninjau simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh memenangi PRN.

"Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon," katanya.

Tuan Ibrahim turut memberitahu, Pas menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah orang muda.