Tokan dadah masuk perangkap polis

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

KAJANG - Kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan seorang lelaki memakan diri selepas diberkas di Taman Anggerik di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan di sebuah rumah pada jam 1 petang itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Menurutnya, polis berjaya merampas dua bekas kotak plastik disyaki berisi dadah jenis ekstasi dan syabu bernilai RM6,885.

"Saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek berusia 31 tahun itu positif dadah.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti modus operandi, rangkaian dan sejak bila suspek aktif," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek telah dibawa ke IPD Kajang dan kini direman enam hari sehingga Rabu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kejayaan ini adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah aktiviti jenayah dan dadah khususnya di daerah Kajang.

"Polis menasihatkan orang ramai jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah atau jenayah di dalam daerah ini boleh memaklumkan kepada pihak IPD Kajang di talian 03-89114222," ujarnya.