PLATS: 708 penjaja terima manfaat

Dari kiri: Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar dan Pengurus PLATS, Siti Nur Hazwani Sabuddin dalam satu program Latihan Pembangunan Usahawan Mikro MBSJ dengan kerjasama PLATS yang diadakan baru-baru ini.
Dari kiri: Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar dan Pengurus PLATS, Siti Nur Hazwani Sabuddin dalam satu program Latihan Pembangunan Usahawan Mikro MBSJ dengan kerjasama PLATS yang diadakan baru-baru ini.
A
A
A

SERAMAI 708 penjaja dari 12 daerah di Selangor menerima manfaat selepas dilatih menerusi Platform Selangor (PLATS) mengenai impak pendigitalan kepada ekonomi sejak Ogos 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, PLATS merupakan suatu inisiatif PNSB dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) membantu rakyat meningkatkan perniagaan mereka menerusi platform komuniti digital.

Menurutnya, aturan latihan PLATS adalah langkah proaktif oleh kerajaan negeri untuk menggerakkan usaha dalam kalangan peniaga, penjaja dan peruncit.

“Latihan separuh hari berkenaan yang lazimnya dikendalikan bersama rakan kongsi setempat termasuk Maybank, OCBC dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi khidmat nasihat kepada vendor ini mengenai manfaat pendigitalan perniagaan mereka.

“Sehingga kini, ia memberi manfaat kepada individu daripada Program Latihan Pembangunan Penjaja Kecil antaranya di Kuala Selangor membabitkan 80 peserta dan 100 peserta di Subang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkata, seramai 109 peserta dari Kajang manakala 177 peserta lagi dari cawangan Shah Alam telah menyertai program terbabit.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali (tujuh dari kanan), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar (enam dari kanan) dan Pengurus PLATS, Siti Nur Hazwani Sabuddin (lima dari kanan) bersama peserta dalam satu program yang diadakan baru-baru ini.
Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali (tujuh dari kanan), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar (enam dari kanan) dan Pengurus PLATS, Siti Nur Hazwani Sabuddin (lima dari kanan) bersama peserta dalam satu program yang diadakan baru-baru ini.

“Semua peserta sudah menerima sijil daripada PLATS untuk membantu meningkatkan perniagaan mereka. Dalam sesi terkini, seramai 50 peserta daripada Program Latihan Pembangunan Penjaja Kecil Kuala Langat terlibat. Dalam masa terdekat, lebih banyak latihan akan diadakan di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS),” katanya.

Beliau berkata, seramai 60 penjaja dari Hulu Langat juga telah menyertai sesi Program Latihan Pembangunan Penjaja Kecil Selangor yang diadakan pada 27 Januari lepas.

"PLATS membantu menyediakan platform untuk peserta mengembangkan dan bergerak ke arah dunia digital. Dalam melaksanakannya, kami yakin peniaga, penjaja dan peniaga runcit ini mampu menjadi lebih mampan di masa hadapan," katanya.

Beliau menambah, program latihan berkenaan bertindak sebagai asas bagi pemilik perniagaan kecil terbabit untuk belajar kemahiran teras serta kemahiran insaniah dan ruang terbaik untuk mereka bertanyakan soalan dalam usaha memperoleh pengetahuan yang lebih jelas mengenai pendigitalan.

“Latihan PLATS merangkumi topik pengurusan akaun media sosial, suntingan asas hantaran media sosial, proses pengurusan tempahan dalam talian, penyesuaian transaksi tanpa tunai, pendigitalan asas perniagaan dan pengenalan kepada PLATS.

“Terdapat 12 bahagian sepanjang latihan manakala peserta memperoleh kesedaran dan maklumat dalam perjalanan mereka ke arah pemodenan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, PLATS mengutamakan perkembangan peniaga dan peniaga runcit di negeri ini.

Menurutnya, program berkenaan mensasarkan untuk menambah baik laman sesawangnya bagi menjadikannya lebih mudah dan selesa untuk peniaga dan pengguna, serta pembimbing dan penceramah latihan pada masa hadapan.