Penoreh bimbang cari gali timah jejas pendapatan

Bantahan secara aman yang dilakukan oleh penoreh getah pada Khamis.
Bantahan secara aman yang dilakukan oleh penoreh getah pada Khamis.
A
A
A
TANAH MERAH - Seramai 60 penoreh getah bimbang punca pendapatan mereka terjejas apabila kerja-kerja cari gali bijih besi yang didakwa akan dilakukan di tanah seluas 150 hektar di Kampung Peralla di sini pada Khamis.

Penoreh getah, Mustapha Che Ibrahim, 48, berkata, setiap penoreh menanam pokok getah sebagai punca pendapatan utama mereka bagi menyara kehidupan masing-masing sejak dua generasi.

“Kerja-kerja cari gali dengan meluaskan jalan di antara kebun-kebun getah bermula pada 16 Jun tahun lalu dan dihentikan pada Julai tahun sama apabila kami membuat laporan polis serta mengemukakan bantahan.

“Bagaimanapun, kerja bersambung semula sejak Selasa lalu menyebabkan kami bimbang pokok-pokok getah akan rosak,” katanya ketika ditemui semasa bantahan secara aman di sini pada Khamis.

Sementara itu, seorang lagi penoreh, Jali Mamat, 60, berkata, pihak yang terlibat diharap tampil bertemu dengan penduduk untuk melakukan rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap kebimbangan yang dihadapi.

Kerja-kerja membuka jalan dilakukan di Kampung Peralla, Tanah Merah. Gambar kecil: Bijih besi.
Kerja-kerja membuka jalan dilakukan di Kampung Peralla, Tanah Merah. Gambar kecil: Bijih besi.

“Kami generasi kedua yang mewarisi satu-satunya tanah kebun itu dan masih menerima hasil daripada menoreh getah.

“Kami bersedia berbincang dengan pihak-pihak yang terbabit agar periuk nasi kami tidak terjejas,” katanya.

Menurut Abdul Hadi Mat Hussin, 60, pula mencadangkan pihak berkenaan supaya memberikan sejumlah pampasan kepada setiap penoreh yang terlibat bagi membantu meringankan kesan yang dihadapi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Dr Shahrir Mohammad Zakey menjelaskan tanah tersebut bukan hak milik Kesedar.

“Kami tidak terlibat kerana kuasa dalam urusan tanah bukan di bawah Kesedar,” katanya.

Ketua Jajahan Tanah Merah, Mohamad Yusoff Hassan pula berkata, pihaknya belum menerima maklumat berkaitan kes berkenaan namun akan meneliti secara lanjut.

Kerja-kerja cari gali tersebut dilakukan mengikut undang-undang dan mempunyai Borang D Lesen Mencari Gali Kerajaan Negeri Kelantan Enekmen Mineral 2001 Perenggan 41(7)(a) yang dikeluarkan pada 25 Mei 2022 dan tamat tempoh lesen pada 24 Mei 2023.