Motivasi kepada pemain industri

Azmi Zainal. - FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
Azmi Zainal. - FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) bukan sahaja satu pengiktirafan, malah menjadi motivasi kepada golongan usahawan di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, dengan adanya anugerah seperti BISA, golongan usahawan akan bekerja lebih gigih, menghasilkan produk dan kualiti yang lebih baik di samping mempunyai daya saing.

“Disebabkan adanya anugerah seperti BISA ini, ia akan menjadikan seseorang itu lebih kompetitif dalam perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Azmi berkata, penganjuran BISA juga amat bertepatan pada masanya kerana selepas pandemik Covid-19, semua pihak bekerja perlu bekerja keras untuk kekal bersaing di pasaran.

“Apa yang kurang atau hilang semasa pandemik lebih dua tahun, inilah masanya membuat kemunculan semula dan BISA jadi satu pengiktirafan terhadap usaha mereka.

“Untuk tahun-tahun seterusnya, BISA pasti ada lagi dan orang akan bekerja lebih kuat bagi mendapatkan trofi BISA. Inilah pentingnya pengiktirafan seperti ini kepada pemain industri,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar penganjuran penganugerahan BISA tidak akan terhenti dan lebih ramai pemain baru dapat menyertainya serta terpilih sebagai penerima pada masa akan datang.

Katanya, sektor perniagaan makanan dan minuman atau F&B di negara ini turut menghadapi turun naik semasa dan selepas pandemik Covid-19.

Jelasnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan F&B berkembang pesat disebabkan orang ramai terkurung di rumah.

“Keadaan berubah apabila orang ramai tidak dibenarkan keluar dan bersosial, kami melihat perniagaan F&B mula terkesan.

“Alhamdulillah produk tenusu boleh dikatakan produk wajib ada di rumah, Pandemik atau tidak, orang tetap membeli susu. Jadi, kelebihan ini ada pada Farm Fresh,” katanya.

Justeru katanya, mereka menyusun strategi semasa berdepan turun naik permintaan selain melakukan promosi secara agresif.

“Kami buat iklan-iklan di televisyen dan menaja rancangan. Kami tidak mahu lonjakan tinggi semasa pandemik itu hanya seketika kerana jika merudum pasti akan memberi kesan kepada prestasi.

“Sebagai syarikat pengeluar tenusu terbesar negara, kami mahu mengekalkan prestasi dengan cara bekerja lebih kuat dan ada strategi yang jelas,” kata beliau.