Presiden FAM menghadap Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Hamidin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis.
Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Hamidin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis.

Baginda berkenan menyantuni kunjungan hormat Hamidin yang menyembah maklum perihal isu semasa bola sepak negara termasuk program pembangunan bola sepak wanita dan program akar umbi sukan itu.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Hamidin kerana dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 pada 1 Februari lepas.

“Tuanku menyifatkan kejayaan saya dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA ini adalah sesuatu yang unik dan luar biasa.

“Malah, Tuanku menitahkan menjadikan peluang ini bukan sahaja sebagai platform mengembangkan kerjaya tetapi turut dijadikan nilai tambah dalam bola sepak Malaysia,” kata Hamidin.

Selain itu, perkara yang ditekankan baginda dalam kunjungan hormat itu adalah mengenai stadium baharu Selangor yang akan turut dilengkapi muzium sukan dan bola sepak.

“Tuanku menitahkan saya supaya sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran untuk muzium sukan dan bola sepak yang akan melengkapkan lagi stadium baharu itu nanti.

“Tuanku turut memberi penjelasan mengenai kelengkapan stadium baharu itu dengan turut meminta pandangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA untuk nilai tambah daripada pelbagai aspek teknikal merangkumi padang dan bilik persalinan,” ujarnya. - Bernama