Semak semula undang-undang ‘menyekat’ kebebasan bersuara

Syahredzan - Foto Bernama
Syahredzan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap segera membentangkan pindaan terhadap undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang dilihat terlalu ‘menyekat’ hak dan kebebasan rakyat.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, ia berikutan terdapat beberapa peruntukan di dalam akta itu yang perlu disemak semula selari dengan gagasan Madani yang diperjuangkan kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, akta yang memperuntukkan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan internet sekiranya menyebarkan kandungan bersifat lucah, jelik, sumbang, palsu dan mengancam itu dilihat terlalu meluas.

“Besar harapan saya dalam tempoh jangka hayat Parlimen ini, Kerajaan Perpaduan membentangkan pindaan terhadap akta (Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998) ini.

“Mungkin tidak untuk memansuhkan terus kesalahan dalam seksyen ini kerana diakui masih ada lagi peruntukan yang diperlukan tetapi (ada) beberapa peruntukan lain perlu disemak dan dipinda,” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Tambahnya, adalah tidak wajar untuk menyekat kebebasan rakyat bersuara terutamanya dalam isu ketidakupayaan hati mereka terhadap pemimpin politik.

“Malangnya undang-undang yang ada ketika disekat oleh pihak yang memegang kuasa (kerajaan) hanya kerana hantaran yang dibuat itu tidak disenangi oleh orang politik.

“Saya bagi contoh, pasukan Liverpool itu jelik sifatnya tetapi takkan lah apa sahaja hantaran tentang pasukan itu harus disiasat polis.

“Maka kerana ia terlalu luas, kita perlu lihat semula pindaan ini untuk dipertimbangkan supaya ia selari dengan gagasan yang diperjuangkan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Syahredzan menegaskan, kebebasan bersuara yang diangkat itu bukan menjadi landasan untuk seseorang bebas memfitnah, menipu atau membakar sentimen perkauman.