Tuntutan Sulu: Malaysia belanja RM31 juta

Azalina Othman
Azalina Othman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM31 juta melibatkan pelbagai kos perundangan bagi menghadapi tuntutan yang difailkan waris kesultana Sulu terhadap Malaysia bermula 20 November 2019 sehingga Januari tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu melibatkan kos perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.

“Secara khususnya fi guaman dan bayaran sahaja sebanyak RM36,000 (tahun 2019), RM167,000 (tahun 2020), RM8.2 juta (tahun 2021), RM13.5 juta (tahun 2022).

“Manakala, RM5.4 juta (tahun 2023) bagi pengendalian kes Mahkamah di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda,” katanya menerusi jawapan bertulis pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kos guaman yang telah dibelanjakan bagi menghadapi tuntutan daripada waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Azalina dalam masa sama turut menjelaskan, keputusan permohonan rayuan oleh Malaysia terhadap perintah Mahkamah Peranci bertarikh 29 September lalu dijangka akan dikeluarkan pada Jun ini.

Januari lalu, Azalina dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.

Waris kesultanan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.