Kumpulan Radja bakal beraksi di Johor

Farid (empat kiri), Dr Azlan (tengah) dan Nurzalinda (empat kanan) menunjukkan poster persembahan kumpulan Radja yang akan mengadakan persembahan pertama di Johor Bahru, selepas sidang akhbar di Hardrock Cafe Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, pada Khamis
Farid (empat kiri), Dr Azlan (tengah) dan Nurzalinda (empat kanan) menunjukkan poster persembahan kumpulan Radja yang akan mengadakan persembahan pertama di Johor Bahru, selepas sidang akhbar di Hardrock Cafe Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, pada Khamis
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kumpulan rock terkenal Indonesia, Radja akan mengadakan konsert Radja Majistec Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, 11 Mac ini.

Pengurus ASEAN liaisons of Radja Band, Farid Hamid berkata, Radja yang berasal dari Banjarmasin bakal mempersembahkan 16 lagu malar segar untuk halwa telinga para peminatnya di sini.

"Konsert Radja merupakan julung kali diadakan di Johor mendapat kerjasama daripada Tourism Johor serta penganjur MEE2 Events. Johor ini merupakan lokasi strategik, kita boleh bawa peminat dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia serta Singapura.

"Antara 'killer song' yang akan dimainkan seperti Jujur, Tulus, Benci Bilang Cinta dan Takkan Melupakanmu.

"Sudah pastinya konsert kali ini akan diatur dengan beberapa ciri kelainan hasil idea bersama Tourism Johor, tunggu dan lihat dalam konsert nanti," katanya pada sidang akhbar di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour di sini pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Johor, Dr Azlan Abd Jalil berkata, dengan adanya konsert ini, pelbagai limpahan ekonomi setempat akan turut terkesan antaranya pemain industri hospitaliti perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Tourism Johor katanya, mengalu-alukan kesudian Radja mengadakan konsert di negeri ini malah pihaknya bakal menganjurkan konsert yang lain dengan menjemput artis-artis dari luar negara.

"Tourism Johor akan membawa lebih banyak artis-artis dari dalam dan luar negara, ini merupakan satu acara dalam mempromosikan agenda pelancongan negeri Johor kepada orang ramai bukan sahaja rakyat tempatan malah mengajak pelancong antarabangsa datang ke negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah MEE2 Events, Nurzalinda Azmi berkata, penjualan tiket telah dibuka kepada semua peminat melalui dalam talian di www.ticket2u.com.my dan sehingga 13 Februari lalu sebanyak 1,000 unit telah terjual.

Jelasnya, sebanyak lima kategori jenis tiket ditawarkan dengan harga berpatutan bermula dengan Silver RM68, Gold (RM108), Rockzone (RM129), VIP (RM299) serta MIP (RM799).