Pemenang cabutan bertuah rasa dihargai


Nik Justin (tengah) menyampaikan hadiah utama kepada Astura, salah seorang penerima hadiah utama cabutan bertuah Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Nik Justin (tengah) menyampaikan hadiah utama kepada Astura, salah seorang penerima hadiah utama cabutan bertuah Jualan Gudang Karangkraf 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemenang cabutan bertuah sempena Jualan Gudang Karangkraf 2023 menzahirkan rasa syukur kerana terpilih dalam merebut ganjaran istimewa yang disediakan itu.

Astura Abu Bakar, 59, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, di sini memaklumkan dia tidak menyangka pembelian akhbar Sinar Harian membawa kepada pemilikan hadiah utama berupa baucar tunai bernilai RM100 daripada MR D.I.Y.

“Saya sama sekali tidak mengharapkan hadiah berkenaan kerana tujuan utama datang ke jualan gudang mencari buku-buku yang boleh diberikan kepada murid.

“Ketika itu surat khabar Sinar Harian menjadi salah satu bacaan yang mahu saya beli untuk diletakkan di perpustakaan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian mengadakan cabutan bertuah khusus buat pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang membuat pembelian akhbar hanya di Kompleks Karangkraf sepanjang 31 Januari sehingga 6 Februari.

Tambah Astura, inisiatif yang dilakukan oleh pihak menganjur dalam memeriahkan lagi acara sememangnya membuatkan pengunjung berasa dihargai.

Dalam pada itu, suri rumah, Rohane Abdullah, 41, juga salah seorang pemenang utama melahirkan rasa gembira apabila diumum sebagai pemenang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, cabutan bertuah merupakan salah satu cara untuk menghargai pembaca Sinar Harian di samping memeriahkan jualan gudang.

“Akhbar Sinar Harian merupakan antara yang termurah dijual di pasaran dengan harga RM1.80. Tetapi sempena jualan gudang kami menghargai pengunjung dengan menawarkan harga promosi iaitu RM1.60 sahaja.

“Kami sungguh teruja dengan sokongan yang diberikan oleh pengunjung jualan gudang dan sudah semestinya acara seperti ini akan sentiasa diadakan untuk menghargai pembaca setia Sinar Harian,” katanya.

Menerusi peraduan cabutan bertuah Jualan Gudang Karangkraf 2023, seramai lima orang dipilih sebagai pemenang, dua daripadanya pemenang utama dan tiga pemenang saguhati.