PSM sasar dua emas di Sukan SEA Kemboja

Mohd Sumali
Mohd Sumali
A
A
A

DUA pingat emas, empat perak dan lima gangsa menjadi buruan skuad sepak takraw dan chinlone negara daripada keseluruhan 22 emas yang ditawarkan di gelanggang sepak takraw Sukan SEA Kemboja 2023 bermula 5-17 Mei ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, daripada jumlah itu, sebutir emas, tiga perak dan satu gangsa diharapkan hadir menerusi sepak takraw, dengan sandaran emas diletakkan kepada acara beregu lelaki.

Bagi chinlone, sukan tradisi Myanmar yang kembali dipertandingkan selepas kali terakhir pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, PSM berhasrat untuk meraih satu emas, satu perak dan empat gangsa.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara regu, regu berpasukan dan beregu lelaki, serta acara beregu berpasukan dan quadrant wanita bagi sepak takraw, selain masing-masing dua acara lelaki, wanita dan campuran dalam kategori chinlone.

Mohd Sumali berkata, PSM akan memuktamadkan senarai akhir pemain ke Phnom Penh menerusi sesi pemilihan selama tiga hari bermula 24 Februari ini.

Pada masa sama, beliau berharap pelantikan legenda sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharum sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan dalam masa terdekat dapat memantapkan persediaan negara menghadapi Sukan SEA.

Mohd Sumali berkata, pihaknya akan menghantar 12 pemain sepak takraw dan enam pemain chinlone lelaki, manakala bagi acara wanita, sembilan pemain yang dipilih untuk sepak takraw akan turut sertai acara chinlone.

"Kita perlu hadapi cabaran besar kerana kita ingin lihat bagaimana perubahan prestasi skuad negara, terutamanya di Sukan SEA Kemboja (selepas konflik dalaman PSM). Saya harapkan struktur kejurulatihan baharu akan memberikan wajah dan nafas baru kepada skuad kebangsaan, serta harapan baru kepada peminat dan penggiat sepak takraw tanah air.

"Saya telah maklumkan kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ahmad Jais yang kali ini kita kena tunjukkan bahawa PSM ke arah untuk mencapai prestasi yang membanggakan," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA pada Selasa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!