Harrif tiada dalam senarai skuad Sukan SEA 2023

Harrif tidak akan membarisi skuad berbasikal lebuh raya negara ke Kemboja.
Harrif tidak akan membarisi skuad berbasikal lebuh raya negara ke Kemboja.
A
A
A

PAKAR pecut negara, Harrif Saleh tidak disenaraikan dalam skuad berbasikal lebuh raya pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang bermula dari 5 hingga 17 Mei depan.

Pengurus pasukan, Norazman Abu Samah berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama barisan jurulatih kerana laluan bagi edisi kali ini memerlukan pelumba yang serba boleh untuk membawa saingan.

Menurutnya, hanya acara kriterium dan lepas beramai-ramai individu dipertandingkan bagi disiplin lebuh raya kali ini, dengan laluan landai dengan sedikit berbukit yang tidak sesuai untuk menurunkan Harrif.

Harrif, 34, merupakan pemenang pingat emas kriterium Sukan SEA 2015 dan 2017, serta juara acara lepas beramai-ramai edisi 2017, selain pernah muncul juara empat peringkat pada Le Tour de Langkawi (LTdL).

Lima pelumba lelaki yang dipilih bagi edisi kali ini adalah juara bertahan acara lepas beramai-ramai, Nur Aiman Mohd Zariff serta Nur Aiman Rosli, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Akmal Hakim Zakaria dan Shahrul Mat Amin.

Norazman berkata, skuad negara akan menggunakan formula sama seperti edisi Hanoi 2021, dengan gabungan pelumba, jurulatih serta mekanik Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (Sapura) ke Phnom Penh.

"Kami berharap dengan percaturan untuk menggabungkan pelumba dari dua pasukan benua - TSG dan Sapura, kami boleh mencapai kejayaan yang dimahukan," ujarnya.

Pada edisi 2021 Hanoi yang diadakan tahun lalu, skuad negara membawa pulang emas acara lepas beramai-ramai individu lelaki, perak acara lepas beramai-ramai individu dan kumpulan wanita serta gangsa ujian masa lelaki dan kriterium wanita. - Bernama