Pemilik gudang jerami melecur cuba padam kebakaran

Bomba memadam kebakaran di sebuah gudang penyimpanan jerami di Kampung Batu 4, Sanglang, Kubang Pasu pada Rabu.
Bomba memadam kebakaran di sebuah gudang penyimpanan jerami di Kampung Batu 4, Sanglang, Kubang Pasu pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang pemilik gudang jerami melecur di tangan kanannya semasa cuba memadamkan kebakaran yang berlaku di gudang penyimpanan jerami di Kampung Batu 4, Sanglang, dekat sini, pada Rabu.

Azli Che Ahmad, 44, berkata, semasa kejadian kira-kira jam 10 pagi, dia bersama empat lagi pekerja sedang melakukan kerja kimpalan besi dinding di gudang tersebut.

Menurutnya, percikan api daripada kimpalan besi telah jatuh ke atas jerami dan angin kencang menyebabkan kebakaran berlaku dengan begitu cepat.

Azli
Azli

"Waktu kejadian saya tengah buat kerja baik pulih tiba-tiba api daripada kerja kimpalan besi terkena pada bahan simpanan (jerami) dan api mula merebak.

"Saya cuba selamatkan keadaan daripada merebak menggunakan jentera pengangkut namun tiba-tiba jentera pula tersangkut. Api bertambah marak dan terpercik pada tangan saya menyebabkan ia melecur sedikit," katanya semasa ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin berkata, sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.21 pagi.

Menurutnya, setiba di lokasi, bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa cedera melecur tahap satu pada tangan kanan sewaktu cuba memadamkan api yang sedang marak.

"Tindakan awal Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) adalah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.

"Kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan sebuah motosikal. Api berjaya dikawal jam 12 tengah hari dan siasatan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus," katanya.

Kebakaran yang berlaku di sebuah gudang penyimpanan jerami di Kampung Batu 4, Sanglang, Kubang Pasu pada Rabu.
Kebakaran yang berlaku di sebuah gudang penyimpanan jerami di Kampung Batu 4, Sanglang, Kubang Pasu pada Rabu.

Bustan berkata, pasukannya turut menerima bantuan daripada bomba sukarela dan juga Balai Bomba Penyelamat Arau melibatkan 33 anggota.

Jelasnya, punca kebakaran adalah akibat percikan api daripada kerja kimpalan besi dinding gudang jerami dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.