Perodua lancar Axia baharu, harga bermula RM38,600

Perodua Axia serba baharu diperkenalkan kepada media. - Foto Bernama.
Perodua Axia serba baharu diperkenalkan kepada media. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan secara rasmi Perodua Axia 2023 serba baharu hari ini dengan sasaran jualan sebanyak 5,700 unit setiap bulan.

Model yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter dengan padanan dwi-mod transmisi boleh laras berterusan (D-CVT), turut ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV.

Kesemua varian tersebut didatangkan dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan ciri keselamatan agihan brek elektronik (EBD) serta bantuan mula mendaki.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata fokus Perodua bagi model baharu itu adalah memaksimumkan penghantaran kepada pelanggannya dan menukar tempahan Axia generasi terdahulu kepada Axia serba baharu.

Dalam kenyataan selepas majlis pelancaran rasmi itu, beliau berkata daripada 44,000 tempahan sedia ada, Perodua dapat meyakinkan seramai 13,600 pelanggan untuk beralih kepada model terbaharu selain menerima lebih 6,500 tempahan sejak 31 Januari lepas.

"Ciri-ciri tambahan (berbanding dengan varian model Axia sebelum ini) adalah jauh berbeza. Varian baharu ini memperkemas semua aspek keselesaan, ruang, keselamatan dan estetik,” katanya sambil menambah seramai 2,900 pelanggan bakal menerima Axia berkenaan tidak lama lagi.

Bagi varian SE dan AV, Axia 2023 didatangkan dengan ciri seperti mod kuasa, lampu siang LED sepanjang hari, solar dan filem keselamatan serta kerusi jenis ‘semi bucket’ dengan sandaran kepala boleh ditanggalkan.

Varian AV pula menawarkan ciri eksklusif seperti paparan pelbagai maklumat TFT, paparan audio sembilan inci, tempat duduk separa kulit dan enam beg udara.

Pada sidang previu media bagi kereta yang diberi kod nama D74A di Sepang minggu lepas, Zainal Abidin berkata model terkini itu merupakan evolusi lengkap daripada sebelumnya dari segi kecekapan bahan api dan boleh bergerak sehingga 27.4 kilometer seliter berdasarkan mod kitaran pemanduan baharu.

Julat harga bagi model tersebut di Semenanjung Malaysia tanpa insurans adalah antara RM38,600 hingga RM49,500 seunit.

Bagi 2023, Perodua menyasarkan untuk mencatat jualan 314,000 unit kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 330,000 unit.

Pengeluar kereta itu turut menetapkan sasaran meraih 45 peratus bahagian pasaran bagi tahun ini. - Bernama.