Cubaan seludup 410,000 batang rokok putih gagal

Syed Nor Adli (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada rokok putih yang berjaya dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Syed Nor Adli (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada rokok putih yang berjaya dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Taktik penyeludup menggunakan bot-bot kecil untuk mengangkut 410,000 batang rokok putih berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad.

Kegiatan tersebut dikesan pada jam 3.45 pagi, selepas melihat pergerakan mengambil stok daripada kapal kargo di tengah laut untuk dibawa ke darat.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat, bot peronda telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan yang bergerak perlahan memasuki muara Tumpat.

"Hasil pemerhatian didapati mereka telah memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.

"Menyedari kehadiran kami, penyeludup bertindak melarikan diri menggunakan bot berkenaan ke sempadan Thailand," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan Tok Bali, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 41 bungkusan plastik hitam mengandungi rokok putih disyaki tidak bercukai dan dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ujarnya, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM428,450 dan kes disiasat bawah Akta Kastam 1967.