Ahli Parlimen pembangkang gesa kerajaan henti amalan nepotisme

Wan Saiful (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Wan Saiful (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menghentikan amalan nepotisme iaitu melantik anak-beranak sendiri ke jawatan penting dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, amalan nepotisme itu sendiri juga pernah ditentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

"Sebelum ini, kita dikejutkan dengan keputusan Perdana Menteri melantik anak beliau, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada beliau.

"Selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut, negara dikejutkan pula dengan pemilihan Nurul Izzah untuk mengetuai secara bersama satu sekretariat yang dibentuk bagi menyokong operasi jawatankuasa penasihat di Kementerian Kewangan," katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat pada Selasa.

Berikutan itu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan prinsip Anwar yang selama ini menentang kronisme dan nepotisme.

"Adakah prinsip itu semakin terhakis setelah mereka mula tidur sebantal dengan UMNO dan BN?

"Takkanlah tak ada di kalangan ahli Parlimen boleh pegang jawatan tersebut hingga terpaksa pilih anak sendiri," sindir beliau.

Wan Saiful menegaskan, keadaan yang berlaku itu menjadi perkara yang memalukan negara dan meletakkan negara dalam pengamalan nepotisme yang membimbangkan.

Malah, katanya, amalan sebegitu juga tidak dilakukan oleh pemimpin negara-negara kecil dan miskin seperti Burundi dan Kiripati.

"Sekarang ini Malaysia konon-kononnya dah jadi negara Madani. Kalau dibandingkan dengan negara kecil dan miskin di dunia seperti Burundi, Kiripati, realitinya presiden atau orang politik di negara berkenaan pun tidak pernah buat apa yang dibuat oleh pemimpin Madani di Malaysia ini," ujarnya.