Sukan SEA 2023 cabaran baharu buat PSM

Mohd Sumali
Mohd Sumali
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyifatkan pelantikan ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara sebagai tindakan proaktif mengembalikan semula kegemilangan sukan itu bermula dengan Sukan SEA Kemboja 2023.

Malah tegas Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, ia juga merupakan gambaran perubahan baharu yang dibawa badan induk sepak takraw negara berkenaan.

“Ya, PSM melihat sasaran untuk Sukan SEA 2023 Kemboja sebagai cabaran pertama ketua jurulatih baharu.

“Malah untuk Kemboja 2023 juga merupakan tugas pertama dan penting kepada ketua jurulatih baharu untuk memberi nafas baharu kepada prestasi skuad kebangsaan

“PSM juga akan menghantar gabungan dalam kalangan pemain senior dan junior untuk Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Latihan intensif akan dimulakan dijangka awal Mac setelah selesai pemilihan para pemain dan jurulatih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sukan Sinar sebelum ini menyiarkan satu emas pada Sukan SEA 2023 menjadi indeks prestasi utama (KPI) terhadap ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.

Timbalan Presiden I PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, itu sasaran diletakkan berdasarkan pengalaman luas dimiliki Ahmad Jais.

Mengenai status PSM dalam Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), selepas Pesuruhjaya Sukan mengesahkan pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) Sumali berkata, “PSM sudah buat permohonan baharu untuk keahlian kedua-dua badan induk tersebut.

“Dokumen lengkap sudah dihantar pada Disember lalu, sehingga kini PSM masih menunggu respon daripada Astaf dan Istaf.”


Senarai Jurulatih Skuad Sepaktakraw Negara 2023

LELAKI:

1. Aswadi Abdullah

2. Ahmad Mohd Zain

3. Suhaimi Yusof

4. Muhd Zulkarnain Md Arif

WANITA:

1. Mohd Rashidi Nordin

2. Mohd Khairuddin Adenan

3. Awi Awang

CHINLONE:

1. Mohd Rashidi Nordin

2. Mohd Khairuddin Adenan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!