Dua maut kemalangan berhampiran jirat

Keadaan kereta Proton Saga dan motosikal remuk teruk selepas terlibat kemalangan.
Keadaan kereta Proton Saga dan motosikal remuk teruk selepas terlibat kemalangan.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran jirat Cina di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 4.12 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dan motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang lelaki.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala motosikal dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian di jalan selekoh, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal tersebut sebelum terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta berkenaan, V Prashaanthan, 20, yang beralamat di Taman Cahaya Pelangi di sini cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta tersebut, B Nantha Kumar, 30, yang beralamat di Taman Bersatu di sini cedera parah di kepala, leher dan patah tulang belakang, kini berada di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

"Seorang lagi penumpang belakang yang merupakan adik kepada Nantha Kumar iaitu B Sathis Kumar, 27, patah tangan tangan kiri, cedera di muka dan berada di Zon Kuning HEBHK," katanya.

Beliau berkata, sementara itu, penunggang motosikal, T Ravindran, 51, beralamat di Taman Kluang Jaya cedera di kepala, patah tangan kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd Salleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran jirat Cina.

"Seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa dalam kereta tersebut tersepit.

"Penunggang motosikal berkenaan pula tersepit di bawah kereta," ujarnya.

Menurutnya, pihak bomba mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

"Sebuah kren turut digunakan untuk mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit bawah kereta dan disahkan sudah meninggal dunia," katanya.