Agong harap Anwar PM terakhir dalam penggal pemerintahan

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri terakhir, sebelum baginda tamat pemerintahan pada awal tahun depan.

Seri Paduka menegaskan, baginda tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur landskap politik tanah air.

Bagaimanapun, pada pengamatan baginda, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.

“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan.

“Bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda sempena pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Sidang Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pada 31 Januari 2019, baginda telah melafazkan sumpah untuk sesungguhnya dan sebenarnya, mengaku akan taat setia menjalankan pemerintahan dengan seadil-adilnya bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, baginda hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah dilafaz dan diikrarkan.

“Sebenarnya, semenjak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, kita telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.

“Pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh,” baginda bertitah.

Seri Paduka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak 31 Januari 2019 dan tempoh lantikan bagi setiap penggal adalah lima tahun.