Koperal dituduh seludup 29 migran Myanmar

Syed Shaifful Amri (kiri) berdepan dua tuduhan menyeludup migran pada bulan.
Syed Shaifful Amri (kiri) berdepan dua tuduhan menyeludup migran pada bulan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menyeludup 29 migran warga Myanmar pada bulan lalu.

Tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, didakwa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan warganegara itu di dalam sebuah van jenis Daihatsu Gran berwarna putih di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan di Tunjong di sini pada jam 1.30 pagi, 16 Januari lalu.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menyeludup 15 lelaki dan seorang perempuan warganegara sama di sebuah inap desa di Jalan Pintu Geng, Kampung Pintu Geng Hulu, di sini, pada jam 9.45 pagi, hari sama.

Kesemua migran berusia antara 19 tahun hingga 47 tahun.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 iaitu kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Mac ini bagi deposisi (keterangan mangsa direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, dan tanpa kehadiran peguam mahupun tertuduh sendiri).

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.