830 buah sekolah daif dikenal pasti

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 830 buah sekolah di seluruh negara dikenalpasti mempunyai blok bangunan daif yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, bangunan daif itu dikesan melalui analisis skor gred impak.

"Berdasarkan kepada skor tersebut, KPM memberikan keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada skala enam dan tujuh iaitu 830 buah sekolah setakat 31 Januari 2023," kata kementerian itu pada Isnin.

KPM berkata, bilangan bangunan daif itu adalah dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal.

"Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan 7," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.

Katanya, tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara.

Sementara itu, KPM menyifatkan pengumuman Anwar adalah selaras dengan tujuh aspirasi kementerian yang turut memberi perhatian terhadap agenda berkaitan pembangunan sekolah daif.

"KPM komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah di seluruh negara," ujar kementerian itu.