Azeem mula bina momentum terbaik

Azeem mula mencipta nama di bumi AS.
Azeem mula mencipta nama di bumi AS.
A
A
A

PEMINAT sukan negara perlu mempercayai proses yang sedang dilalui Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk meletakkan namanya sebagai antara pelari pecut terbaik dunia.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad berkata, Azeem berada pada landasan terbaik untuk memecahkan lebih banyak rekod dalam acara 60 meter (m) mahupun 100m.

Beliau juga memahami ada pihak yang mula mempersoalkan kejayaan Azeem yang ketika ini hanya memecahkan rekod untuk saingan 60m dan tidak memberikan gambaran sebenar dalam 100m.

“Kita harus percaya kepada proses yang dilalui Azeem. Kita tak perlu beri tekanan kepadanya dan saya yakin dia akan memberikan banyak lagi berita gembira untuk negara.

“Saya melihat Azeem berada di landasan tepat menjadi atlet negara yang pertama berlari di bawah 10s. Maksudnya, timing 60m yang dilakukan pada dua kejohanan itu kebiasaannya dibuat pelari mencatat bawah 10s.

“Azeem pula baru lagi berada di Amerika Syarikat (AS) dan dia mungkin boleh perbaiki lagi larian. Baru dua kali kejohanan dah buat 6.62s, saya yakin dengan usaha yang gigih lagi, dia boleh buat 6.50s.

“Jadi, tak perlulah kita pertikai dia hanya lari dan pecah rekod dalam 60m. Kita sepatutnya terus memberikan sokongan kepadanya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Azeem sekali lagi mencipta sensasi apabila memecahkan rekod acara 60m pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina pada Sabtu.

Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, 6.63s yang dilakukan pada Kejohanan Texas Tech Open di Texas dua minggu lalu.

Azeem ketika itu memecahkan rekod kebangsaan selama 24 tahun milik bekas pelari pecut, Watson Nyambek iaitu 6.66s yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Namun, terdapat segelintir peminat yang seolah-olah tidak sabar mahu melihat pencapaian lebih cemerlang dicipta oleh Azeem menerusi acara 100m dan bukannya 60m.

Mengulas lanjut, Nazmizan berkata, Azeem berjaya menyesuaikan diri dengan baik keadaan di AS sejak tiba di negara Uncle Sam itu pada 4 Januari lalu.

“Azeem merupakan seorang atlet yang berjiwa kental dan tahu apa yang dia nak capai apabila buat keputusan memilih Universiti Auburn bagi menyambung pelajaran dan berlatih.

“Kita juga menanti larian 100m pertamanya di AS. Saya menjangkakan dia berada di prestasi baik bagi mencatatkan masa yang baik dalam acara 100m berdasarkan catatan 60 meter itu,” jelasnya.