Nani Sahirah belum puas hati

Nani Sahirah melakukan lontaran sejauh 13.27m dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Agensi
Nani Sahirah melakukan lontaran sejauh 13.27m dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

PEMEGANG rekod kebangsaan acara lontar peluru wanita, Nani Sahirah Maryata masih belum berpuas hati meskipun berjaya merangkul pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Atlet kelahiran Kuantan, Pahang, berusia 22 tahun itu sedikit kecewa selepas lontaran sejauh 13.27 meter (m) dilakukan itu gagal menandingi rekod peribadinya 14.48m yang juga rekod kebangsaan yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022.

"Saya sebenarnya kurang berpuas hati dengan lontaran hari ini. Kegagalan untuk menghampiri catatan terbaik saya itu mungkin disebabkan tidak cukup rehat kerana baru sahaja tiba di sini dari rumah di Pahang sebab mak saya tidak sihat," katanya.

Namun, Nani Sahirah berkata, dia akan memberi sepenuh tumpuan untuk menajamkan kemahiran menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei ini selepas berjaya melayakkan diri secara merit bagi kategori A dalam acara itu.

"Perancangan saya selepas ini sudah tentu mahu memberi tumpuan kepada Sukan SEA sebab saya mahu sasar kedudukan podium. Sebagai persiapan saya akan bertanding dalam beberapa kejohanan dan paling terdekat di Australia pada bulan depan," katanya.

Sebelum itu, rakan senegerinya, Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar menamatkan saingan di tempat kedua dengan lontaran sejauh 12.20m manakala gangsa dimenangi wakil Angkatan Tentera Malaysia, Queenie Ting Kung Ni (11.35m). - Bernama