Nurul Izzah bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Naib Presiden PKR itu diundang menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

Sekretariat itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini.

"Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menzahirkan penghargaan atas setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan," tambahnya.

Beliau berharap dengan komitmen yang diberi akan membantu Mohd Hassan serta anggota jawatankuasa lain memberi manfaat kepada negara tercinta.