Lelaki amuk pukul pelajar diberkas

Suspek berjaya diberkas orang ramai sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.
Suspek berjaya diberkas orang ramai sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki diberkas dipercayai mengamuk sebelum memukul seorang pelajar sekolah swasta warga Filipina dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku di lobi pusat beli-belah tersebut ketika mangsa sedang menyiapkan litar permainan kereta kebal bersama beberapa individu yang lain.

"Mangsa yang berumur 17 tahun itu mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul suspek dengan menggunakan peralatan membancuh simen.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Rawatan Sunway untuk rawatan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan mendapati mangsa mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah.

"Mangsa mengaku berhalusinasi ketika memukul mangsa.

"Suspek kemudiannya berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ujar Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulkifli di talian 03-55202222," katanya.