Kerajaan wujudkan saluran khas sukan

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Fahmi)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Fahmi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mewujudkan saluran televisyen khusus untuk kandungan sukan secara percuma tidak lama lagi.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, saluran baharu itu sedang dibangunkan dan dijangka mula bersiaran awal suku kedua tahun ini.

Menurutnya, saluran itu akan memfokuskan acara sukan tempatan bagi memenuhi kehendak rakyat di negara ini.

"Saya minta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk pertimbangkan mewujudkan satu televisyen khas khas untuk sukan.

"Sebelum ini, kita memang ada RTM sukan yang boleh kita capai melalui RTM Klik atau dalam talian tetapi ramai yang tidak ada telefon pintar dan saya mahu kalau boleh ada satu saluran secara percuma di RTM sukan.

"Sekarang ini, saya sudah minta pihak RTM untuk teliti supaya kita boleh lihat bila kita boleh laksanakan. Saya percaya kalau kita hendak merakyatkan sukan, maka bagi KKD ini adalah satu cara yang boleh kita bagi sokongan kepada atlet-atlet kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Pejabat Parlimen Lembah Pantai 2023 di sini pada Ahad.

Fahmi dalam masa sama turut meletakkan harapan agar saluran televisyen khusus untuk kandungan sukan itu dapat direalisasikan seperti dirancang.

"Harapan saya (agar) sebelum atau selepas raya kita boleh merealisasikan atau lancarkan televisyen khusus iaitu RTM Sukan secara percuma," katanya.