PH jangan hina penjawat awam

Dr Radzi Md Jidin
Dr Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Md Jidin menegur pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak sesekali menghina penjawat awam.

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai kenyataan P Ramasamy berhubung isu perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu dan perlu direformasikan sebagaimana artikel ditulis Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu sebelum ini.

"Tulisan P Ramasamy mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh orang Melayu adalah punca yang menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu. Beliau seterusnya mendesak supaya 'dominasi Melayu' dalam perkhidmatan awam dihentikan

"Jadi hujah P Ramasamy ialah: perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu - puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu - penyelesaiannya ialah untuk kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pecahkan dominasi tersebut.

"Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu," katanya dalam hantaran Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata jika benar perkhidmatan awam atau institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) didominasi oleh orang Melayu, maka tiada golongan akademik yang bukan Melayu dilahirkan di universiti tempatan.

Tambahnya, setiap kementerian dari pelbagai jabatan atau agensi turut melantik pegawai bukan Melayu selain menerima kenaikkan pangkat atas merit dan kecemerlangan perkhidmatan mereka.

"Saya fikir kalau benar begitu, P Ramasamy pun tak boleh jadi Profesor di UKM kerana UKM 'didominasi' oleh orang Melayu. Selain P Ramasamy, ramai juga Profesor bukan Melayu di UKM, iaitu sebuah universiti yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu," katanya.

Selain itu beliau berkata, ramai pegawai bukan Melayu diterima masuk dalam perkhidmatan awam dan dinaikkan pangkat atas merit serta kecemerlangan perkhidmatan mereka sehingga menjawat jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha Negara (TKSU), Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah.

Mengulas lanjut katanya, Ramasamy menggesa pihak kerajaan campuran melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam adalah istilah yang digunakan DAP bagi menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas kenegaraan.

Katanya, perlembagaan negara yang telah sekian lama menjadi pasak bagi mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk perlu menjadi panduan.

Dalam masa sama, beliau mendakwa, Anwar sukar berkeras kerana DAP mempunyai jumlah kerusi yang terbesar dalam kerajaan dan sudah pasti Perdana Menteri mahukan hubungan tersebut diberi keutamaan.

“Seperti yang dijangka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya tidak akan 'reprimand' P Ramasamy,” katanya.

Beliau turut berkata, jika kenyataan yang menyentuh kaum dikeluarkan oleh pemimpin Perikatan Nasional pasti mereka akan dituduh rasis, berbeza dengan parti DAP walaupun mendakwa pihak tersebut jelas membangkitkan isu perkauman.

"Tapi bila Abang Besar DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata Abang Besar ini rasis," katanya dan turut memberitahu bahawa perjuangan rasisme atau perkauman melampau jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air tercinta.