Pengambilan penjawat awam ikut merit, bukan kuota kaum

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memandang serius isu wakil rakyat yang cuba mempolitikkan sektor perkhidmatan awam apabila ia dikatakan didominasi oleh orang Melayu.

Pengerusinya, Datuk Adnan Mat berkata, pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menurutnya, SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

“Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.

“Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, Cuepacs terkilan apabila ahli politik berkenaan membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

“Kenyataan wakil rakyat tersebut mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat serta tidak berasas.

“Perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa oleh individu berkenaan,” katanya.

Jelasnya, sebagai seorang wakil rakyat, individu berkenaan seharusnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam.

“Perkara itu penting supaya pelbagai kaum berminat dan mengetahui tentang peluang kerjaya tersebut.

“Tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika anda sendiri sebagai wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini,” katanya.

Bagaimanapun, Adnan tidak menafikan bahawa penyertaan daripada kaum bukan bumiputera dilihat kurang kerana ada dalam kalangan antara mereka yang berpandangan gaji rendah berbanding bekerja di sektor swasta atau berniaga.

“Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam khususnya di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” jelasnya.