Kegembiraan enam rakan mandi sungai berakhir tragedi

Seorang pelajar OKU ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu, pada Khamis. - Gambar hiasan
Seorang pelajar OKU ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu, pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang lembam dalam pembelajaran itu dipercayai hanyut dan tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke sungai tersebut bersama lima rakan yang juga merupakan jirannya.

"Semasa sedang mandi, mangsa dan seorang lagi rakannya dikenali sebagai Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.

"Menyedari keduanya hampir lemas, rakan-rakannya telah berusaha menyelamatkan mereka. Bagaimanapun, Amir berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, selepas itu mereka cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam menggunakan sebatang kayu tetapi malangnya ia patah dan hanyut serta tenggelam dibawa arus.

Choon Foo memberitahu, rakan-rakan mangsa kemudian bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian Muhammad Fakrul Imam telah timbul.

"Mangsa dibawa ke tebing sungai dan telah dibantu dengan melakukan bantuan pernafasan. Tetapi didapati mangsa tidak memberi sebarang tidak balas.

"Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat," katanya.