Tak sempat rai hari jadi bapa, pelajar maut kemalangan

Motosikal Modenas Kriss yang ditunggang Muhammad Azrief (gambar kecil) terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. (Gambar kecil : Muhammad Azrief)
Motosikal Modenas Kriss yang ditunggang Muhammad Azrief (gambar kecil) terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. (Gambar kecil : Muhammad Azrief)
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pelajar sekolah menengah di sini tidak sempat meraikan hari jadi bapanya selepas maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pegoh Dalam, pada malam Khamis.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu mengakibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Talib Karim, Muhammad Azrief Karim, 16, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Kampung Pegoh Dalam menghala ke Pegoh.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang warga emas berusia 61 tahun dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan memasuki simpang lorong ke rumahnya.

"Mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi pintu penumpang hadapan kereta terbabit. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk mengundang rakan-rakan makan di rumahnya sempena meraikan hari jadi bapanya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ1987,” katanya.