'Hilang tiga ahli keluarga sekelip mata'

Kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Rabu mengorbankan tujuh nyawa.
Kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Rabu mengorbankan tujuh nyawa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang yang mengorbankan tujuh nyawa semalam membuatkan seorang warga emas kehilangan isteri, kakak kandung serta kakak iparnya dalam sekelip mata.

Wong You Hook, 62, berkata, isterinya, Ang Meng Hoong, 62, kakaknya, Wong Ah Mooi @ Wong Seh Mooi, 83, dan kakak iparnya, Lee Moy, 67, maut dalam nahas kemalangan tengah hari semalam.

"Semua mereka pada mulanya langsung tidak merancang untuk bercuti di Genting Highlands, tapi mendiang Moy yang bekerja di Johor Bahru, Johor telah pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan buat keputusan di saat akhir untuk ke sana (Genting Highlands)," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tiga ahli keluarganya yang menyewa van persiaran bertolak pada pukul 6 pagi hari Selasa, dan mereka sepatutnya pulang semalam.

You Hook yang tinggal di Machang Bubok di sini berkata, sukar baginya untuk menerima kenyataan bahawa beliau kehilangan ketiga-tiga mereka sekali gus.

"Sejak saya dengar berita, sampai sekarang saya tak boleh fikir apa-apa. Banyak susah hati. Lagi pun bukan satu, tapi tiga-tiga pergi (terkorban) sekali macam ini, sakit hati sangat," katanya yang beberapa kali menahan sebak.

Bagi anak Wong Ah Mooi iaitu Lim Nyoh Chin, 55, pemergian ibunya amat sukar untuk diterima mereka sekeluarga kerana mendiang merupakan seorang yang sangat sihat dan aktif walaupun berusia 83 tahun.

"Dia sangat 'happy' punya orang. Selalu senyum, enjoy. Walaupun dah berusia dia suka lawat tempat yang menarik. Bulan lepas pun dia pergi ke Lost World of Tambun (Perak) dengan cucu-cucu.

"Kali ini emak kata nak pergi dengan adik beradik dan kawan-kawannya ke Genting Highlands untuk bercuti, kami anak-anak memang bagi sahaja dia pergi sebab tahu emak suka bercuti di tempat pelancongan tapi akhirnya dia tidak pulang hanya mayatnya sahaja akan balik," katanya.

Menurut Lim ahli keluarga mangsa kemalangan dimaklumkan semua mayat akan selesai dibedah siasat petang ini dan akan tiba di sini malam ini.

Sementara itu, adik kepada pemandu van persiaran, Wong Choun Chiet, 49, yang turut maut dalam kemalangan yang mahu dikenali sebagai Cindy berkata, mereka sekeluarga masih terkejut dengan nahas yang membabitkan abang sulungnya itu dan sedang bersedih kerana kehilangan abang bertanggungjawab dan baik hati.

Beliau yang merupakan adik bongsu daripada tiga beradik berkata, hubungan mereka juga sangat akrab malah abangnya tinggal bersama kakaknya di Seberang Jaya, di sini.

"Mendiang memang sudah lama bekerja sebagai pemandu van persiaraan namun dia bekerja apabila dipanggil untuk membawa pelancong ke mana-mana, dan bukan tetap dengan satu-satu syarikat sahaja," katanya dan menambah Wong tidak pernah terlibat dalam kemalangan sejak membawa van persiaran lebih 10 tahun lepas.

Katanya, mereka telah berada di Pahang untuk menuntut mayat abangnya, dan mayat akan diuruskan secara cremation di Kuala Lumpur, sebelum abu mayat dibawa pulang dan ditempatkan di kuil Kek Lok Si selepas selesai upacara keagamaan nanti. - Bernama.