Anwar jawab sebab Muda tidak dijemput mesyuarat sekretariat

Anwar beramah mesra dengan peserta selepas menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil: Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra dengan peserta selepas menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil: Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada Selasa lepas hanya melibatkan parti-parti yang mengasas Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dijelaskan sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Anwar, pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan tetap menyertai perbincangan secara bersama dalam platform-platform seterusnya.

“Tidak apa, itu kita sudah jelaskan, mesyuarat itu adalah mesyuarat parti-parti yang mengasas, tetapi yang lain itu akan dibawa dalam jawatankuasa.

“Mesyuarat itu hanya mesyuarat parti yang mengasas Kerajaan Perpaduan, yang lain itu tentu akan dibawa kerana mereka ini menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media selepas menyampaikan Syarahan Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di UNISEL Bestari Jaya, di sini pada Khamis.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengulas kenyataan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menyuarakan rasa terkilan kerana tidak dijemput menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato' Onn.

Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi berkata, Muda tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau e-mel.

Mesyuarat pertama Sekretarian Kerajaan Perpaduan itu dipengerusikan Anwar dan dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, wakil MUDA dilaporkan tidak kelihatan pada mesyuarat itu. - Awani