'Ada hikmah saya pergi makan'

Kesan rempuhan kereta seorang pelajar sekolah yang memandu di Nilai yang tersalah menekan pedal minyak.
Kesan rempuhan kereta seorang pelajar sekolah yang memandu di Nilai yang tersalah menekan pedal minyak.
A
A
A

NILAI - Ada hikmahnya seorang pekerja sebuah sekolah memandu di Pajam, Mantin di sini pergi makan apabila dia terselamat daripada dirempuh sebuah kereta yang melanggar struktur pejabat dan bilik mengajar sekolah memandu berkenaan pada Khamis.

Kejadian jam 10.33 pagi itu berlaku selepas pelajar sekolah memandu yang merupakan lelaki berusia 26 tahun tersalah menekan pedal minyak kereta Perodua Axia yang dipandunya.

Menurut Noorhashima Sulaiman, 26, insiden itu berlaku kira-kira 10 minit selepas dia meninggalkan meja kerjanya untuk pergi makan di ruang pantri pejabat.

"Tiba-tiba kami dikejutkan bunyi dentuman yang sangat kuat yang saya ingatkan ada kemalangan di litar belajar memandu, rupa-rupanya di ruang pejabat yang turut mengejutkan seramai 33 pelajar yang sedang mengikuti latihan di bilik bersebelahan.

Kesan rempuhan bangunan sekolah memandu di Nilai.
Kesan rempuhan bangunan sekolah memandu di Nilai.

"Saya bersyukur tiada di meja kerja waktu itu kerana kereta terbabit betul-betul merempuh meja saya dan ada hikmahnya saya pergi makan waktu itu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, sejak lapan tahun kerja di situ, pertama kali kemalangan sebegitu berlaku.

Sementara itu Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Kanan II, Effendi Rahmat berkata, mangsa dan pengajar yang merupakan lelaki berusia 65 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun terdapat dua lelaki yang berusia 22 dan 27 tahun yang berada di dalam bilik tersebut cedera di bahagian kaki dan belakang badan akibat kemalangan itu.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan," katanya.