Pemain kontroversi calon penjaga gol terbaik FIFA

Martinez disenarai pendek untuk merebut Anugerah Penjaga Gol Terbaik FIFA. Foto Agensi
Martinez disenarai pendek untuk merebut Anugerah Penjaga Gol Terbaik FIFA. Foto Agensi
A
A
A

TIGA penjaga gol yang beraksi di Piala Dunia 2022 termasuk pemain kontrovesi Argentina, Emiliano Martinez disenaraikan antara tiga calon untuk merebut Anugerah Penjaga Gol Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Turut tersenarai ialah Yassine Bounou dari Maghribi dan Thibaut Courtois (Belgium).

Martinez menyerlah di Qatar akhir tahun lalu apabila menjadi wira Argentina ketika menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti.

Dia bagaimanapun menimbulkan kontroversi selepas melakukan aksi kurang sopan ketika menerima anugerah penjaga gol terbaik kejohanan.

Ketangkasan Bounou di gawang pula membantu Maghribi muncul negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Biarpun Belgium beraksi hambar di Piala Dunia setelah tersingkir di peringkat kumpulan, namun Courtois muncul antara jurutera kejayaan Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara ke-14.

Bagi kategori wanita, tiga penjaga gol tersenarai ialah Ann-Katrin Berger (Jerman), Mary Earps (England) dan Christiane Endler dari Chile.

Finalis anugerah pemain terbaik lelaki dan wanita serta Anugerah Puskas untuk jaringan terbaik dijadualkan diumum pada Jumaat.

Majlis anugerah FIFA itu akan berlangsung di Paris pada 27 Februari.