Warga asing rayu, menangis ketika ditahan JPJ

Ops Pewa JPJ Selangor dengan kerjasama Jabatan Imigresen di Klang Sentral menahan 12 warga asing pada Rabu.
Ops Pewa JPJ Selangor dengan kerjasama Jabatan Imigresen di Klang Sentral menahan 12 warga asing pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Merayu kepada pegawai operasi hingga menangis minta tidak diambil tindakan. Itu antara situasi yang berlaku semasa operasi pemandu warga asing (Ops Pewa) di Klang Sentral di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi bermula jam 9 pagi itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor.

Menurutnya, operasi khas bagi mengambil tindakan terhadap pemandu warga asing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya itu memeriksa 110 kenderaan dan hasilnya 153 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

Ops Pewa JPJ Selangor di Klang Sentral bertindak menyita 13 motosikal yang digunakan warga asing pada Rabu.
Ops Pewa JPJ Selangor di Klang Sentral bertindak menyita 13 motosikal yang digunakan warga asing pada Rabu.

"Antara kesalahan yang dikesan dan diambil tindakan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) serta insurans tamat tempoh, kesalahan teknikal selain notis arah periksa.

"JPJ telah menyita 13 motosikal jenis Honda EX5, Modenas Kriss, Honda Wave 110 dan Demak EX90 untuk tindakan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 12 warga asing berusia 25 hingga 40 tahun membabitkan empat Indonesia, Bangladesh (5) dan Myanmar (3) turut ditahan selain tindakan oleh pihak imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, warga asing itu bekerja sebagai peniaga kuih serta aiskrim, memungut dan jual besi buruk dengan mengubah suai motosikal menjadi kenderaan roda tiga.

Ops Pewa di Klang Sentral yang dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor.
Ops Pewa di Klang Sentral yang dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor.

"Semasa operasi, ada pemandu warga asing enggan beri kerjasama dengan melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ.

"Warga asing ini juga cuba meraih simpati dengan alasan-alasan dan menangis bagi tidak dikenakan tindakan," ujarnya.

Beliau berkata, JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.