Tak mudah naik ke Liga Super

AFL akan pantau kemampuan kewangan pasukan Liga M3 yang akan beraksi di Liga Super 2024. Foto: klrovers. Gambar kecil: Mohd Yusoff
AFL akan pantau kemampuan kewangan pasukan Liga M3 yang akan beraksi di Liga Super 2024. Foto: klrovers. Gambar kecil: Mohd Yusoff
A
A
A

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) akan memastikan kelab Liga M3 mempunyai kewangan yang kukuh sebelum dibenarkan untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan memastikan pasukan tersebut benar-benar layak daripada segi kewangan agar tidak menghadapi masalah apabila saingan liga berlangsung.

“Kita lihat perkara ini daripada beberapa sudut. Mungkin ada pasukan musim lepas yang boleh naik dan dia nak naik tapi tak lepas sebab masalah pelesenan kelab. Mungkin juga ada pasukan tahun depan, dia juara tapi tak nak naik sebab faktor kewangan.

“Kita mesti melihat kepada penyediaan pasukan dan pengurusan ini. Kita mahu pastikan kalau dia nak naik, macam mana dia nak dapatkan kewangan untuk menampung perbelanjaan dalam Liga Super.

“Kita di AFL akan pantau pasukan. Kalau kita nampak dah mungkin layak untuk naik, kita bagi nasihat yang perlu untuk pasukan ini terutama daripada segi kewangan,” katanya ketika ditemui media pada majlis kesyukuran Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027, di Wisma FAM, pada Selasa.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penstrukturan saingan Liga Malaysia pada musim ini yang menyaksikan pasukan yang beraksi dalam Liga M3 berpeluang untuk naik ke Liga Super tahun depan.

Struktur baru Liga Malaysia pada musim baharu akan menyaksikan saingan Liga Preimer ditangguhkan dan Liga M3 dinaik taraf menjadi Liga Semi-Pro.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengakui komitmen beberapa pasukan yang tampak serius untuk mempersiapkan pasukan untuk cuba layak ke Liga Super musim depan.

“Saya nampak mereka mahu bersaing tetapi sekali lagi ia bergantung kepada kewangan pula. Sama ada pasukan itu mampu atau tidak menyediakan kewangan yang cukup untuk bermain Liga Super.

“Kita tidak mahu mereka naik setahun, lepas tu akan jatuh balik. Kita nak pastikan pasukan itu benar-benar layak untuk naik. Kalau tak boleh, kita akan kekalkan dalam Liga M3 sebab MFL juga ada peraturan sendiri,” katanya.