95 peratus aduan suri selesai

Fuziah (kiri) melancarkan Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Lotus's Tebrau, Johor Bahru, pada Rabu.
Fuziah (kiri) melancarkan Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Lotus's Tebrau, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 909 aduan menerusi aplikasi WhatsApp Aduan Suri sejak dilancarkan pada 11 Januari lalu.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 95 peratus daripada aduan yang diterima itu sudah diambil tindakan dan diselesaikan.

"Aduan berkenaan antaranya melibatkan isu kenaikan harga barang yang melampau, kekurangan bekalan dan penipuan pembelian dalam talian contohnya beli barang lain dapat lain.

"Menerusi aplikasi ini, kita akan memberi respon terhadap aduan dalam masa dua jam dan akan mengambil tindakan dalam tempoh 14 hari. Pengadu hanya perlu mengimbas kod QR yang ada dan akan terus disalurkan ke aplikasi WhatsApp aduan KPDN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Lotus's Tebrau di sini pada Rabu.

Beliau berkata, penggunaan kaedah tersebut akan diperluaskan selepas ini menerusi pelekat dengan kod QR yang sama dan akan diletakkan di semua tempat antaranya pasar raya, kedai dan tempat awam supaya suri rumah dan orang ramai lebih senang membuat aduan.

Menurutnya, ketika ini proses kemas kini aplikasi berkenaan sedang dilakukan di peringkat kementerian supaya lebih berkesan dan diharap inisiatif itu dapat menggalakkan suri rumah bertindak dan memperkasa hak-hak pengguna.

"Pada masa ini kita edarkan 'fridge magnet' kepada suri rumah menerusi Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah yang diadakan pertama kali di pasar raya di Kedah pada 11 Januari lalu. Kita edarkan 500 'fridge magnet' di Kedah.

"Di Johor pada hari ini merupakan negeri kedua untuk program ini dan kita edarkan 500 'fridge magnet' kepada suri rumah di Pasar Raya Lotus's Tebrau," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun lalu, KPDN merekodkan sebanyak 29,965 aduan kepenggunaan dan daripada jumlah itu sebanyak 13,755 aduan adalah daripada pengadu wanita.

Dalam tempoh sama katanya, aduan berkaitan transaksi dalam talian adalah tertinggi diterima iaitu sebanyak 8,847, diikuti aduan mengenai harga barangan (7,259 aduan) dan perkhidmatan mengelirukan (6,095 aduan).