Sanusi yakin gelombang hijau kekal hingga PRN

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pas yakin dapat mengekalkan gelombang hijau atau tsunami Perikatan Nasional (PN) di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana pemimpin sedia ada merupakan yang terbaik selepas segelintir bekas ahli Pas keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, apa yang berlaku telah mengukuhkan Pas dan bukannya menjadi semakin lemah.

“Ya, Pas pernah perintah satu penggal sahaja di Kedah dan Terengganu. Pemimpin utama ketika itu ialah Mahfuz selaku Naib Presiden, sebab itulah Pas gagal pertahankan Terengganu. Sekarang beliau tidak lagi bersama Pas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan insentif kemenangan sempena Sukan Malaysia (Sukma) di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pada Selasa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar yakin gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mampu memecah dominasi Pas di Kedah kerana tiada apa yang mustahil dalam politik.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mencabar Mahfuz untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena pada PRU15 lepas.

“Mahfuz kalah dengan majoriti undi 31,000. Marilah berentap di medan politik, bukan cakap sahaja.

“Saya ucapkan selamat kembali (bertembung dalam PRN). Bertandinglah di kerusi DUN pula. Cubalah nasib di mana-mana kawasan sekalipun, Pas sedia berikan cabaran,” katanya lagi.