Draf RUU intip, hendap ditambah baik

Ramkarpal Singh.
Ramkarpal Singh.
A
A
A
PUTRAJAYA - Penambahbaikan terhadap draf dua rang undang-undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap telah dicadangkan bagi memastikan penekanan diberikan kepada kesalahan itu secara holistik serta merangkumi semua aspek perundangan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Beliau berkata, penambahbaikan itu terhasil daripada sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Badan Peguam Malaysia bagi meneliti semula peruntukan kedua-dua RUU itu.

Dua RUU itu ialah Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022.

Dua RUU itu telah dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lepas, bacaan kali kedua dan ketiga pada 3 Oktober 2022 dan telah diluluskan, namun berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas, RUU tersebut tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sidang Parlimen yang sama, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ramkarpal berkata, RUU itu perlu dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang akan bermula.

Beliau berkata Memorandum Jemaah Menteri berhubung RUU itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat.

"Tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri, kedua-dua RUU berkenaan akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang akan datang ini.

Pada 24 Januari 2019, kerajaan mencadangkan agar perbuatan mengintai perlu diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa khususnya golongan wanita.

Usaha itu telah dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Anti-Stalking sejak 2019. - Bernama