JKM cari waris bayi, kanak-kanak

Gambar dari kiri: Alysa Filza, Silvinisari
Gambar dari kiri: Alysa Filza, Silvinisari
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mencari waris seorang kanak-kanak perempuan, Silvinisari, 10, dan bayi berusia sebulan, Alysa Filza.

Menurut JKM dalam satu kenyataan, ibu bapa Silvinisari telah menyerahkan anaknya kepada seorang peniaga dikenali Mokhtar kerana tidak mampu membayar hutang.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak tersebut diserahkan tanpa sebarang dokumen dan Mokhtar sempat menjaganya selama tiga tahun.

"Mokhtar kemudian menyerahkan jagaan kepada seorang lelaki warga Indonesia kerana tidak lagi mampu menjaga kanak-kanak tersebut.

"Laporan polis berhubung pengambilan kanak-kanak di dalam jagaan telah dibuat di pondok polis Hospital Selayang pada 10 September 2016," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Ujar kenyataan itu, kanak-kanak itu telah ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKK PENOR) selama tiga tahun selaras dengan Seksyen 30(1)(d) Akta kanak-kanak 2001 (pindaan 2016).

Tambah kenyataan itu, tempoh jagaan akan tamat pada 26 Februari 2023 dan kanak-kanak itu akan mendapatkan perintah baru.

Sementara itu, bagi kes kedua, bayi perempuan, Alysa Filza telah dijumpai orang awam di hadapan sebuah rumah di Kampung Paya Jaras pada 7 Disember 2022.

"Bayi ditinggalkan bersama uri yang masih melekat di pusat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Ibu bapa kandung atau waris kanak-kanak ini sedang dikesan. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak di talian 03-61785731/5931/7331," ujar kenyataan itu.