'Bukan Azmin sahaja layak jadi MB Selangor'

Iskandar
Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor mempunyai ramai calon lain lebih layak untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, calon lain juga layak dan ia bukan hanya menamakan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semata-mata untuk kembali menerajui Selangor.

"Maklum balas saya kepada berita tersebut adalah terlalu awal untuk menamakan calon Menteri Besar dan terdapat ramai calon-calon lain yang juga layak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun Iskandar berpandangan, mana-mana parti yang memasuki PRN perlu menamakan calon Menteri Besar dan barisan exco untuk dinilai pengundi.

Jelas beliau, pengundi pada masa ini lebih cerdik dan bermaklumat kerana mereka tahu siapa yang akan menerajui pentadbiran jika sesebuah parti atau pakatan parti politik memenangi PRN.

"Amalan hanya menamakan calon Menteri Besar dan juga barisan exco selepas memenangi pilihan raya adalah amalan lapuk ketinggalan zaman dan tidak sesuai di negeri maju seperti Selangor.

"Kenyataan seperti, undi saja kami, nanti kami tahulah nak buat apa, tidak lagi dapat diterima di dalam politik moden hari ini sepertimana telefon Nokia 3010," jelasnya.

Sehubungan itu, ujar beliau, sekiranya parti politik serius untuk memenangi PRN, calon-calon mereka mesti berkemampuan untuk mentadbir negeri.

"(Hal) ini penting terutama bagi negeri seperti Selangor yang merupakan pusat ekonomi negara dan dengan aset bernilai berbilion-bilion ringgit.

"Majoriti pengundi bukan ahli parti, mereka tidak memiliki taat setia kepada mana-mana parti dan tidak ada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti," jelas beliau.

Menurut Iskandar, pengundi akan memilih calon berdasarkan merit dan kadang-kala terdapat parti yang jahil terhadap faktor mempengaruhi pengundi membuat pilihan.

"Kepada parti politik, jangan syok sendiri tetapi bertanya kepada rakyat apa yang mereka mahu.

"Jangan pula kita merasakan calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan oleh rakyat

"Soalan yang pengundi akan tanya tentang kehebatan calon sama ada pembangkang atau wakil rakyat sekarang," kata beliau.