Beli Yamaha Y16ZR guna MyKad palsu

Dua tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Temerloh pada Rabu.
Dua tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Temerloh pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu menyamar dan menggunakan kad pengenalan palsu untuk membeli motosikal pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Herman Yusof , 30, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Tan Chiew King selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 23 Ogos 2022 kira-kira jam 1.20 petang bertempat di sebuah kedai motosikal di Temerloh didakwa telah melakukan kesalahan menipu dengan jalan samaran menggunakan identiti Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian motosikal jenis Yamaha Y16ZR.

Bapa kepada empat anak itu didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi dan waktu sama didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Wardah kemudiannya menawarkan jaminan RM15,000 bersama dua penjamin warga tempatan dengan syarat lapor diri di balai polis berhampiran sehingga pelupusan kes.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mazieera Ra Sharifudin dari Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta ikat jamin minimum selain perlu menanggung isteri dan empat anak dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Chiew King kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin bercagar warganegara Malaysia yang memiliki alamat tetap dan melaporkan diri ke balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan sehingga pelupusan kes dan 22 Mac depan untuk sebutan semula.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi pekerja kilang, Hermawati Ariff, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu pada Disember 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa di antara Januari hingga Disember 2017 bertempat di kilang kayu getah di Mentakab telah bersubahat membantu Herman mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Faisal Hanif Rusli.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Wardah memohon ikat jamin sebanyak RM7,000 dikenakan dan Mazieera kemudiannya memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh sudah bercerai dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung ibu bapanya.

Chiew King kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 dan seorang penjamin bercagar, manakala sebutan kes pada 22 Mac depan.