[VIDEO] Pengeluaran KWSP: Kerajaan perlu bantu rakyat

Kerajaan perlu mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran KWSP. (Gambar kecil: Aimi Zulhazmi)
Kerajaan perlu mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran KWSP. (Gambar kecil: Aimi Zulhazmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP).

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, pengeluaran KWSP wajar dilaksanakan, namun ia haruslah dibuat secara bersasar.

“KWSP dikeluarkan bersasar contoh yang ada hutang bank boleh buat pengeluaran tak perlu kita halang, tak cukup tambah lagi.

“Kalau orang itu perlukan wang kita wajib bantu dia,” katanya pada Wacana Sinar Siri 383 ‘KWSP 2.0: Tak beri, merajukkah rakyat?’ yang disiarkan disemua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia, Jannahtul Ain Jaafar yang dihoskan oleh Ismail Adnan.

Aimi berkata, KWSP ialah sebuah tabungan yang mempunyai pelbagai orang kalau penabung itu susah kena tolong.

“Memang ramai yang masih menghadapi masalah dengan tekanan kos sara hidup ditambah dengan kenaikan kadar pinjaman bank.

“Kita tak nafikan ada golongan terhimpit terutama B40 dan M40. mereka tak berdaya malah ada yang kehilangan orang yang mencari mata pencarian," katanya.

Jelas Aimi, apa yang perlu dilihat ialah belanjawan akan datang khususnya dasar fiskal kerajaan nanti.

“Untuk jangka pendek pula bagaimana hendak membantu rakyat, dalam konsep Madani, Perdana Menteri menekankan kepada bukan hanya miskin di kampung tetapi juga miskin di bandar. Bagaimana kerajaan mahu bantu semua golongan?

“Ia harus diselarikan dengan dasar monetari yang diamanahkan kepada Bank Negara dan dasar fiskal oleh kerajaan,” katanya

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan berhubung penstrukturan ekonomi untuk jangka masa panjang dalam keadaan hutang kerajaan mencecah RM1.5 trilion.

“Katakanlah KWSP tidak boleh, keluar bagaimanakah kita hendak bantu rakyat?

“Bagaimana dengan potongan cukai dan sebagainya? Banyak persoalan dan kerajaan baharu pun dah 100 hari, kita mahukan solusi yang lebih membantu rakyat," ujarnya.