Tommy sudah ada bayangan kesebelasan utama TFC

Steinbruckner
Steinbruckner
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner merngakui sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama pasukan menjelang sepak mula musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bermula 24 Februari ini.

Jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ berkata, beliau masih mahu menilai prestasi pemain dalam empat siri perlawanan persahabatan di Thailand bermula esok hingga 13 Februari ini sebelum memuktamadkan skuad naib juara Liga Super musim lalu itu.

Menurut Tommy, beliau juga masih mencari seorang lagi tonggak serangan tengah bagi membantu membuka ruang untuk penyerang pasukan melakukan penyudahan.

"Tetapi jelas bukan mudah mencari pemain seperti itu terutama dalam kalangan pemain tempatan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, skuad Penyu akan melalui empat siri perlawanan persahabatan di Thailand termasuk satu perlawanan dengan sebuah kelab Liga Denmark, Odense Boldklub FC, yang bakal menjadi ujian sebenar dalam menilai keserasian dan prestasi skuad TFC.

Selain perlawanan dengan Odense Boldklub FC, TFC juga akan bertemu dengan tiga kelab dari Thailand iaitu Rajpracha FC, Bangkok FC dan Chonburi FC.

Musim ini, TFC menyenaraikan lima tonggak import baharu iaitu Ivan Mamut dan Damagoj Pusic dari Croatia, Sony Norde (Haiti), Adisak Kraisorn (Thailand) dan Surdor Kulmatov (Uzbekistan).

Selain itu, naib juara Piala FA musim lalu itu, mengekalkan empat pemain import sedia ada iaitu Habib Haroon (Bahrain), Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana) dan pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!